04 April 2012

HIKMAT PENDERITAAN BERSAMA KRISTUS

Orang-orang yang baik mengalami
penderitaan tetapi orang-orang yang
jahat pun sama mengalaminya juga.
Orang-orang yang jauh dari Tuhan,
menderita. Namun orang-orang yang
dekat dengan Tuhan malah lebih menderita lagi. Penderitaan datang dan
melanda semua orang tanpa membeza-
bezakan. Kejahatan mengundang kesengsaraan,
tetapi pada masa yang sama, keadilan
pun tidak dapat menghalang
kesangsaraan. Menjauhkan diri dari
Tuhan akan mendekatkan kita pada
kesengsaraan, namun kedekatan kita dengan Tuhan pun tidak dapat
menjauhkan kita dari kesengsaraan.

Nampaknya kita berhadapan dengan
keseluruhan isu persoalan tentang
kesengsaraan dengan hanya satu
soalan yang nampaknya tidak
berkesudahan – “Mengapa?” Agak
mudah bagi kita menerima kenyataan bagi orang-orang yang memang jahat.
Tetapi jika yang ditimpa penderitaan itu
adalah orang yang baik, lalu timbul
persoalan – “Mengapa dia?” Tetapi
jika kita sendiri mengalami penderitaan
tersebut, maka kita seakan-akan berteriak, “Mengapa saya pula?!”

Mengapa tidak? Bukankah Yesus sendiri
pun pernah mengalami penderitaan,
malah sampai mati di kayu salib? Ini
bererti penderitaan itu sebenarnya
bukanlah suatu sumpahan. Ianya boleh
bererti sebagai akibat daripada dosa kita. Namun demikian, ianya bukan pula
sebagai suatu hukuman. Sebab, tidak
ada seorang pun yang dihukum oleh
Tuhan, kerana Dia sendiri telah
menderita di kayu salib untuk
keselamatan kita. Sewaktu anda mengalami pelbagai
tekanan hidup, apakah anda
menganggapnya sebagai hukuman
Tuhan? Tetapi percayalah segala bentuk
tekanan hidup tersebut hanyalah
sebagai proses pemulihan bagi kita agar lebih hidup sesuai dengan kehendak
Tuhan. Bayangkanlah anda sebagai
pohon. Mungkin anda mengalami
dipangkas, dibuang dahan, daun serta
bunga dan buah yang berlebihan. Itu
bererti anda bukan dihukum, tetapi ada tujuan tertentu daripada pemilik pohon
tersebut – supaya kita tumbuh subur
dan berbuah banyak walaupun
menderita seketika. Nabi Ayub dan Tuhan Yesus adalah
orang-orang yang tidak bersalah,
namun kedua-duanya mengalami
penderitaan yang luar biasa. Namun
kedua-duanya tidak pernah menjadi
hamba kepada sebarang penderitaan yang mereka hadapi. Memang Ayub
pernah juga mempersoalkan
kesengsaraannya pada Tuhan, tetapi dia
tetap beriman teguh kepada Tuhan.

Demikian juga Yesus, Dia pernah
memohon kepada Allah Bapa-Nya agar penderitaan yang dipikul-Nya itu
dijauhkan daripada-Nya. Tetapi akhirnya
Dia tetap menyerahkan Roh-Nya kepada
Allah Bapa. Menderita atau tidak, itu bukanlah
pilihan kita sendiri, sebab kita sangat
terbatas dan sangat berharap pada
pertolongan Tuhan. Kita semua
mengalami pelbagai bentuk
kesengsaraan yang memang kita tidak ingini. Misalnya, ada orang yang
mengalami kesengsaraan secara
singkat, ada juga yang mengambil masa
agak lama. Ada yang biasa-biasa
sahaja, ada juga yang mengalami
sangat luar biasa hebatnya. Apapun, kita perlu bersedia menghadapinya
kerana cepat atau lambat, pasti kita
akan mengalaminya juga.

Persoalannya, mengapa penderitaan itu
menimpa Nabi Ayub, Paulus, Yesus dan
saya? Apakah ada orang lain yang
terhindar daripada kesengsaraan hidup
ini? Ya, memang tidak ada siapapun
yang terhindar dari penderitaan – Ibu Maria pun tidak! Oleh kerana kesengsaraan merupakan
sebahagian daripada hidup kita, maka
ianya merupakan suatu panggilan yang
suci. Ianya suatu panggilan yang serupa
dengan panggilan Yesus, Sang Hamba
yang menderita itu. Suatu panggilan untuk bersama Yesus di kayu salib dan
komitmen untuk tetap setia bersama
Yesus, baik dalam masa suka mahupun
dalam masa duka. Sama ada kita mahu hidup sengsara
bersendirian, atau memilih hidup
sengsara bersama Yesus, bukan
merupakan masalah. Tetapi jika kita
serahkan penderitaan kita kepada
Kristus, maka ianya akan berubah menjadi suatu berkat dan kesempatan
yang baru. Jadi, mengapa kita tidak
memilih hidup menderita bersama
Yesus daripada menderita secara
bersendirian yang akhirnya membawa
akibat yang negatif, misalnya mulai berangan-angan untuk mengambil jalan
pintas iaitu bunuh diri. Salib Yesus tidak pernah menyelesaikan
kesengsaraan manusia. Kita pun tahu
bahawa kesengsaraan itu sendiri tidak
pernah menjadi masalah yang harus
diatasi. Sebab kesengsaraan itu
merupakan suatu misteri kehidupan yang memerlukan kesedaran kita.

Maka melalui salib Yesus, kesengsaraan
manusia itu diletakkan di dalam
keadaan di mana manusia itu menerima
secara sedar, bukan hanya
penyembuhan, tetapi juga pengalaman peribadi terhadap Yesus Kristus, Sang
Penyembuh batin itu. Maka bagi kita yang mengalami
keadaan sengsara, akan menjadi agen
penyembuh walaupun kita sendiri
mengalami luka-luka kesengsaraan
tersebut. Sebab walaupun kita dalam
keadaan sengsara, namun kita mempunyai kedamaian di hati,
mengingat Yesus sentiasa bersama kita,
dan sentiasa berpesan, “Marilah
kepada-Ku, semua yang letih lesu dan
berbeban berat,” kata-Nya, “Aku
akan memberi kelegaan kepadamu.” (Mt 11:24)

Sumber:keningaudiocese.org

No comments:

Post a Comment